RM800,000 diperuntuk bagi naik taraf IKBN kepada AWS: Khairy

RM800,000 diperuntuk bagi naik taraf IKBN kepada AWS: Khairy

MIRI: Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk menjadikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri sebagai Pusat Pengiktirafan Persijilan American Welding Society (AWS) Accredited Test Facilities.

Ia dijangka siap sepenuhnya Julai 2016 dan IKBN Miri akan menjadi satu-satunya institusi pusat pengiktirafan terbabit di Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, IKBN Miri bakal menjadi pusat pekerja mahir dalam bidang kimpalan bagi mendapatkan persijilan antarabangsa atau memperbaharui persijilan berkaitan kimpalan.

“Jangan anggap bidang kimpalan susah, tetapi apabila mempunyai kepakaran dalam kimpalan, sudah pasti permintaan khasnya industri minyak dan gas tinggi bukan sahaja di negara ini bahkan di seluruh negara.

“Justeru, usaha ini bertujuan menjadikan IKBN Miri pusat kecemerlangan sektor minyak dan gas serta merealisasikan misi pembangunan modal insan belia berkemahiran di kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian IKBN Miri-Oceancare Technical Training Centre di IKBN Miri di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Oceancare Corporation Sdn Bhd Datuk Nelson Balang Rining, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Seri Jamil Salleh, Pengarah Oceancare Technical Training Centre Datuk Lokman Hamidi, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai, Residen Miri Antonio Kahti Galis, pegawai-pegawai kanan kementerian, pegawai-pegawai Oceancare Corporation Sdn Bhd serta wakil-wakil industri.

Menurut Khairy, kerjasama antara IKBN Miri dan Oceancare Corporation Sdn Bhd yang ditandatangani Mei 2015, mampu memberi manfaat besar kepada belia dan ekonomi khususnya di Sarawak.

Katanya melalui kerjasama terbabit, ia meningkatkan lagi kebolehpasaran lepasan IKBN dalam sektor minyak dan gas serta sektor –sektor lain berkaitan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh IKBN Miri-Oceancare Technical Training Centre.

“Saya dimaklum bahawa seramai 211 orang terdiri daripada belia, pekerja industri serta tenaga pengajar IKBN Miri menjalani kursus jangka pendek dilaksana dalam tempoh enam bulan lalu.

“Program dilaksana hasil kerjasama tersebut melibatkan kursus Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran (HSE), Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response) dan Latihan Kemahiran – Keselamatan Pemanduan Forklift (Skill Training-Forklift Driving Safety,” katanya.

Tambah Khairy, latihan kemahiran belia tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama industri berkaitan bagi menyediakan khidmat latihan.

Mengulas mengenai IKBN, jelas Khairy, kadar pekerjaan lepasan IKBN tahun lepas meningkat lebih 90 peratus bermakna permintaan dari segi kemahiran adalah diperlukan.

Beliau turut mencabar IKBN untuk mencapai sasaran pada 2020 bagi menyediakan 50 peratus daripada kursus yang disediakan diajar dalam bahasa Inggeris.

“Ini bagi membolehkan lepasan IKBN nanti melangkah lebih jauh dan berkhidmat di industri yang memerlukan bahasa Inggeris,” tambahnya.

Pada majlis terbabit, Khairy turut mengadakan lawatan ke bilik latihan IKBN Miri-Oceancare Technical Training Centre dan gerai pameran industri minyak dan gas.

Source : http://www.theborneopost.com/2016/03/14/rm800000-diperuntuk-bagi-naik-taraf-ikbn-kepada-aws-khairy/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *